Subscribe:

04 February 2010

Kisah Seorang Ibu

Cter ni aku jumpa dlm buku Mastika keluaran dulu-dulu,haha... Ada yg aku ubah2 skit... Anyway, banyak pengajarannya... kisah pengorbanan ibu... baca sampai abis tau, bru faham cter nih, jgn baca tajuk jer....

Tajuk :IBU SEORANG PENIPU

Di satu pagi yang hening dan tenang, tika burung sedang berkicau. Aku baru saja bersiap untuk pergi ke sekolah, aku kelihatan begitu segak sekali. Keluar saja aku dari bilik, ibu sudah menghidangkan sarapan di ruang makan. Aku memandang ibu ku sambil tersenyum, dan ibu membalas kembali senyuman ku itu. Lalu ibu memanggil ku untuk bersarapan. Ubi rebus yang ibu hidangkan begitu sedap bila dicecah dengan sambal. Aku memandang ibu lalu bertanya, " ibu mengapa tidak makan sekali?" ibu membalas, "ibu sudah makan tadi nak, sewaktu kau sedang bersiap," sambil terukir senyuman di wajah ibu. Tapi aku tahu yang ibu sedang menipu aku, dia belum bersarapan lagi. Kami hanya tinggal dua beranak saja, ayah telah lama meninggalkan kami berdua. Ibulah yang mencari nafkah dan membesarkan aku selama ini.

Pulangnya aku dari sekolah pada tengah hari, aku terus saja makan. Ibu pula masih di pasar menjual sayur, ibu hanya pulang pada jam 2 petang. Ibu kelihatan begitu penat sekali apabila dia pulang, dan dia terus masuk ke bilik. Aku mulai pelik, ibu selalunya tidak begitu, selalunya dia pasti akan berbual dengan ku terlebih dahulu. Bertambah pelik lagi, ibu tidak keluar-keluar lagi dari biliknya dari pukul 2 hinggalah ke pukul 6 petang. Aku nekad, aku terus masuk ke bilik ibu. Aku melihat ibu sedang terlantar di dalam bilik. Ya Allah, apa yang sedang berlaku ini. Aku memegang dahi ibu, dahinya sungguh panas. Barangkali ibu demam. Lalu, aku berkata, "ibu, kita pergi jumpa doktor ya, ibu demam ni." Tetapi ibu menggelengkan kepalanya lalu berkata "tak mengapa nak, esok lusa elok lah demamnya, lagipun bukannya teruk sangat demam ibu ni." Sekali lagi aku ditipu oleh ibu. Kenapa ibu suka sangat menipu aku. Dahinya sungguh panas tadi. Aku tahu yang ibu tidak mahu membazirkan duit kerana ingin menampung kos aku untuk ke sekolah, tetapi takkanlah sehingga tidak mahu berjumpa doktor.

14 tahun kemudian...

Kini aku telah dewasa dan berkerjaya. Seperti kebanyakan orang, aku terlalu sibuk sehingga tidak sempat untuk menelefon ibu untuk bertanya khabar, apatah lagi menjenguknya di kampung. Pada satu hari itu, aku berkesempatan untuk menelefon ibu untuk bertanya khabar. " Assalamualaikum ibu. Ibu sihat? Dah makan ibu? Duit belanja cukup tak?" Ibu membalas sambil terbatuk-batuk, " Waalaikumsalam. Ibu batuk sikit saja ni, esok lusa baiklah. Duit yang kau kirimkan bulan lepas pun tak habis diguna lagi, banyak lagi." Mendengarkan suara ibu yang terbatuk-batuk itu, aku mula rasa tidak sedap hati. Tapi apakan daya, aku hanya mampu berdoa pada yang Esa supaya ibu diberi nikmat kesihatan.

Pada keesokan hari, aku menerima panggilan dari Mak Piah, jiran dan rakan karib ibu di kampung. Tiba-tiba jantung aku berdebar-debar, aku bertanya kepada Mak Piah, "Ada apa Mak Piah telefon ni?" Aku sungguh terkejut mendengar jawapan dari Mak Piah, aku terus jatuh terjelupuk ke lantai. Ibu telah meninggal dunia. Patutlah semalam aku risau tatkala mendengar ibu terbatuk-batuk. Mak Piah kata sudah masuk 2 bulan ibu menghidap batuk kering. Dia sering batuk berdarah tetapi tidak mahu ke hospital, ibu tidak menggunakan duit yang aku kirim untuk berbelanja, sebaliknya duit itu dia gunakan untuk membeli tanah di hujung kampung untukku, dia hanya makan apa yang ditanamnya di kebun. Pada saat ini aku masih terfikir, mengapa ibu sering menipu aku walau ajal hampir kepadanya?

Kini, setelah ibu pergi untuk selamanya barulah aku tahu mengapa ibu sering menipu aku. Itu pun setelah aku bertanya kepada Mak Piah. Mak Piah kata, naluri seorang ibu ni berlainan, dia sanggup menahan lapar dan sakit demi untuk anaknya. Aku sungguh sedih, lantas bercucuran air mataku jatuh ke bumi. Aku sungguh terharu dengan pengorbanan ibu selama ini kepada ku. Ya-Allah, kau tempatkanlah ibu ku dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang solehah.


-TAMAT-




Moral cerita ini : Kepada yang bergelar anak, janganlah sesekali kau menderhaka kepada ibumu. Ketahuilah engkau bahawa ibumu itu banyak pengorbanan dilakukan hanya untuk mu. Hargailah mereka yang bergelar ibu.